Thursday, February 18, 2010

Ibarat belut pulang ke lubuk

Tanggal 1 mei 1997, bersempena cuti Hari Buruh, aku dan anak2 bertolak dari T.Intan ,Perak. Betul kata En.Meor tempuh hari, bahawa pertukaranku pasti berjaya. Cukup sebulan, permohonanku sudah diluluskan tetapi aku terpaksa membuat penangguhan tugas memandangkan banyak lagi urusan yg belum selesai. Pertukaran sekolah anak2ku diuruskan oleh ayah. Banyak barang yang perlu dikemas. Untuk mencari lori pun mengambil masa juga. Seperti yang dirancang, ayah, ibu dan adik2ku Hilmi dan Farid mengiringi kami sepjg perjalanan ke Kedah. Seblm bertolak ayah dan ibu mertuaku seolah2 tdk mahu melepaskan kami. Anak2ku dicium sepuas2nya dan tdk jemu2 ibu mertuaku berpesan spy aku menjaga diriku, anak2ku dgn baik dan akan selalu menghubungi mrk. Hari itu, ibarat menonton sebuah drama berat! Aku banjir lagi dgn air mata..
Perjalanan melalui lebuh raya utara-selatan agak meletihkan. Kira2 jam 6.30 ptg kami selamat tiba di rumah ayah di Guar Chempedak. Aku dan anak2 disambut oleh adik2 perempuanku dan dua tiga org jiran yg tinggal berdekatan. Ayah sudah menyediakan sebuah bilik buat kami di tingkat atas. Anak2ku seperti rusa masuk kg. Banyak yg dipersoalkan. Aku keletihan dan melayan perasaan sendiri. Bagaimana sekolah baru? Mampukah aku menempuhi kehidupan baru dan di tempat baru? Bagaimana penerimaan rakan2 di sekolah kelak? Bolehkah anak2ku menyesuaikan diri di sekolah baru nanti? Sampai bila aku akan menetap bersama-sama ibu dan ayah? Banyak persoalan yang berlegar di mindaku...
Waktu malam kami seisi keluarga berkumpul. Rasa spt ada kenduri di rmh ayah. Anak2ku yang 5 org itu leka bermain dengan 5 org pupu2 mereka. Melihat keadaan itu, perasaan gusarku kian reda. Keasyikan mereka bermain mungkin dpt melupakan ayah mereka seketika.
Telahanku tidaklah begitu tepat. Sebelum melelapkan mata aku dihujani pelbagai soalan.
Kuang...Ong...ong...Kuang... bunyi sahutan sang katak yg asing buat mereka menyebabkan anak2ku tdk dpt tidr.
"Mak, bunyi apa tu mak?" Muhsin mengajukan soalan.
"Katak!" aku menjawab ringkas.
"Kenapa banyak katak kat umah tok ni?" Syakir menyoal lagi.
"Katak tu tak tidur ka?"
Aku semakin malas melayan pertanyaan mereka.
"Mak, abah tau ka kita dah balik Kedah?" Muhsin mengalih persoalannya daripada bab katak tadi. Aku terkedu seketika.
"Kalau abah keluar dari kubur, di mana abah nak cari seluar?"Tanya Syakir pula. Ya Allah! tolonglah hambamu ini..Tabahkan hatiku...Cukuplah wahai anak2...jgn tanya lg..Abah takkan balik dah...
Sewaktu ayah mereka dikapankan, mereka semua melihat bagaimana pengurusan jenazah tersebut. Maka tdk hairanlah mereka mempersoalkannya ..
"Mak, kalau abah nak dtg ke kedah, abah nak naik apa? Abah mana ada duit."
"Sudahlah. Tidur!."Esok tanya tok wan!" Pintaku. Air mataku sudah tdk tertahan lagi.
Aku menangis utk kesekian kalinya.

Tuesday, January 26, 2010

Rela Dalam Paksa

Pertemuan dengan Pegawai PPD dan Pengetua tidak lain disebabkan proses pertukaranku ke Kedah.
"Saya akan sokong pertukaran tu, jika cikgu buat permohonan" katanya sebelum aku beredar dari bilik Pengetua.
Keesokan hari, aku mengambil cuti untuk menguruskan hal pertukaranku. Langkah pertama aku ke Hosp.Besar Teluk Intan utk mendapatkan surat pengesahan kandunganku. Selesai urusan ayah memandu pulang ke rumah.
"Abah, polis kat depan tu, nampak macam melambai-lambaikan bendera mintak kita berhenti!"
"nak saman kita ka? Salah apa pulak ni?" ayahku bersuara.
"Berhenti encik!, dari mana ni?" sapa polis itu.
"Assalamualaikum", ayah bersuara.
"Waalaikumsallam. Encik dah buat kesalahan ni. Dua2 tak pakai tali pinggang keledar!Mintak ke tepi" pintanya
"Allah. Saya bukan terlupa tapi tak boleh pakai, sebab dada saya bernanah akibat kencing manis" Ayah seolah-olah merayu. Memang betul cakap ayah. Sebagai ustaz ayah tidak berbohong.
"Kalau sakit tak payah bawa kereta!" Balas pegawai itu.
"Yang tak payah pakai tali keledar hanya bagi perempuan mengandung. Kalau lain dari itu kena pakailah!"
Jawapan itu padaku agak kasar, lebih-lebih lagi dalam situasiku yang sedang berduka malah ujaran itu dianggap tidak wajar diterima oleh orang yang sudah tua seperti ayahku. Kesabaranku teruji.
"Saya memang mengandung!" Aku menyelak tudung labuhku dan sempat dilihat olehnya.
" Saya ni baru seminggu kematian suami, banyak urusan yang perlu diselesaikan!" Jawabku tegas.
"Oh, saya minta maaf. Tak apalah. Tapi lepas ni encik pakailah tali keledar! .
Aku lega tetapi peristiwa itu agak lucu juga, Entah mengapa aku boleh jadi seperti ibu ayam yang beranak kecik. Garangnya bukan main.

**************************************************

Banyak lagi urusan yang perlu dibereskan. Isnin berikutnya aku ke JPN, Ipoh menyerahkan sendiri surat pertukaranku.
"Pegawai bahagian Sek.Men. bermesyuarat pagi ni. Minta tunggu sekejap" Kata kerani itu.
Ayah memaklumkan tujuan kedatangan kami dan sekali sekala mereka mencuri pandang padaku. Rasa sedihku belum habis lagi, lebih-lebih lagi jika ada pandangan simpati dilemparkan padaku.
Tidak lama kemudian, masuk seorang pegawai.
" Tolong wakilkan saya ke rumah keluarga kerani yang kematian ibunya pagi ni. Mesyuarat saya lambat lagi selesai." Katanya
"Oh, Encik Meor Azman, ni ada tetamu, dari tadi menunggu"
" Mari, mari, masuk ke pejabat saya. Pelawanya.
Kehadiran ayah dan keadaan diriku yang sarat, aku anggap membawa rahmat. Doa apa yang ayah bacakan kerana urusan pagi itu begitu mudah.
Setelah segala-galanya diceritakan, Encik Meor mengucapkan takziah kepadaku.
"Saya pun dah nak bersara cukup bulan ni. Tak apalah cikgu, saya akan percepat permohonan puan ni. Insyallah, selalunya kes-kes macam ni akan dapat cepat. Sabarlah.
Selepas itu beliau meminta kerani di situ menguruskan permohonanku dan selesai bersalaman dengan ayah ,beliau melangkah ke kamar mesyuarat.
Hati berdetik. Selamat tinggal negeri Perak!
******************************
Selesai urusan di JPN, kami ke bangunan mahkamah Ipoh yang tersergam indah. Kini, urusan harta pesaka perlu dibereskan. Sebidang tanah lot di Gelung Pepuyu milik suami perlu dikendalikan supaya selepas pertukaranku ke Kedah tidak timbul masalah dan aku tidak perlu bersusah payah berurusan lagi di Perak.
"Saya nak tahu prosedur tentang pembahagian harta pesaka ni" Soalku pada pegawai di situ.
" Oh, puan pergi kepada pegawai tu"
" Saya ni nak tanya cara-cara untuk membuat pembahagian harta pesaka?"
" Banyak ke harta peninggalan suami?"
"Tak la banyak. Cuma tanah lot kediaman saja"
"Oh, Kalau akaun suami ada rm 100,000.00 kena melalui mahkamah sivil, kalau kurang daripada jumlah tu saya pun tak tahu! Puan pergiu jumpa pegawai tu" Dia menuding jari ke arah pegawai yang lagi satu.
Apa ni? Urusan yang macam ni pun semua tak tahu. Aku keluar. Ayah nampak letih.
Cuba tanya pada pak guard tu. Pinta ayahku.
Setelah bertanya, dia memberi jalan. "Cuba tanya pegawai dalam perpustakaan tu. Dia orang lama di sini. Mungkin tahu"
Betul kata pak Guard tu. Pegawai tadi memaklumkan bahawa harta yang tak banyak boleh buat di Pejabat Tanah je. Itulah realiti. Banyak yang kita belajar daripada pengalaman. Tidak semua benda yang orang tahu. Pengalaman hari itu amat menyakitkan. Sakit kaki, sakit hati dan terasa kerdilnya diri ini jika kita tidak punya wang atau kedudukan. Dilambung ibarat bola pingpong!
*********************************
Pulang dari Ipoh kami singgah di Simpang Pulai untuk menempah batu nisan.
"Nak pilih batu nisan yang mana?"
"Yang ni pun elok juga. Saya bekenan"
"Yang pipih macam tu untuk orang perempuan, yang bulat begini untuk lelaki!"
"Oh, mana saya tahu"
Kali ini aku belajar lagi. Kalau ke tanah perkuburan, aku sudah dapat membezakan mana satu kubur lelaki, kubur perempuan dan kubur kanak-kanak!
Pengalaman ialah guru paling berharga.
************************************
Genap 40 hari pemergian suami, kami sekeluarga ke tanah perkuburan untuk menurunkan batu nisan. Selesai ayah membacakan doa, aku dan anak-anak menjirus air yassin dan menaburkan bunga atas pusara suami.
Izinkan saya pergi bersama-sama dengan anak-anak kita untuk kembali ke pangkuan keluarga.
Selamat tinggal... Moga berkesempatan untuk menziarahimu kembali dengan anak baru kita!
Pemergian ini rela dalam paksa.