Sunday, December 13, 2009

Aku Pasrah KetentuanMu



Tragedi yang menimpa adik Teh Affifah Shahirah pada 11 Disember 2009 mengamit memori silamku. Meskipun rentetan peristiwanya tidak serupa namun pengalaman ketika menghadapi situasi itu tidak mungkin luput daripada ingatan. Pemergian suami ketika mandi untuk bersolat Jumaat pada 21 Mac 1997 amat sukar dikikis daripada ingatan.
Bunyi air dari pili kamar mandi memaksaku memanggilnya. Jika anak-anak bermain pili air hujan, tentu sekali suamiku marah. Takkan suamiku pula sengaja membiarkan air terbuang begitu saja, tidak seperti orang yang sedang mandi. Debaranku kian kencang, apabila panggilan 'abang' kulaungkan sebanyak 4 kali tidak bersambut. Aku cuba merempuh pintu bilik air sekuat hatiku namun pintu itu tetap tidak terbuka. Aku segera memanggil anak sulungku, Ida yang berusia 10 tahun . "Tunggu kat sini, mak nak panggil Pak cik Hassan kejap". Lututku terasa longgar. Lemah anggota namun kugagahi melangkah selang sebuah rumah daripada deretan rumah teres yang kudiami.
"Zah, mintak Encik Hassan tolong tengokkan. Cikgu Arif kat bilik air, bunyi macam jatuh dan dia tidak menyahut bila saya panggil!" Aku cemas.
"Cepat bang, tolong tengokkan cikgu Arif kejap!" Jiranku Azizah pantas memanggil suaminya.
Suamiku dibawa keluar dan aku gelabah. Kubacakan kalimat shahadah ke telinganya.
"En.Hassan ambil ja kereta, tolong hantarkan ke hospital" pintaku. "Cikgu telefon je kat hospital, minta ambulan datang ke sini" En.Hassan pula mengarahkanku.
Jarak Hospital Teluk Intan dan kediamanku di Kg.Kerentina tidaklah terlalu jauh, cuma 5 km sahaja tetapi hampir setengah jam masa yang diambil mereka untuk tiba ke rumahku.
"Suami awak dah tak ada, dia dah meninggal!" kata pembantu perubatan berbangsa cina itu dengan perlahan. "Bawa le ke hospital, gunakan defibrilator atau apa-apa alat yang boleh membantu!" Aku semakin garang dan tidak dapat menerima berita itu. "Tak perlu puan, suami awak memang sudah meninggal!" Aku melangkah gontai ke kamar, tanpa bersuara. Air mataku meluncur laju dan tangisan anak-anakku 5 orang yang duduk sebaris di kusyen ruang tamu semakin kuat. Jiran-jiran semakin ramai yang tiba. Simpati, sebak dan mengharukan. Kehadiran kenderaan ambulan mula menyedarkan jiran-jiran di kawasan perumahan itu.
Dengan kekuatan yang berbaki aku sempat menelefon rakan, adik ipar dan kakakku di Sg.Petani memaklumkan berita itu.

"Cikgu buatlah keputusan. Bila suami cikgu nak dikebumikan. Kami boleh uruskan sama ada petang ni, malam ke atau jam 12 malam ni pun boleh!" kata kariah surau ,sahabat suamiku.
" Saya nak tunggu adik-adik dia dan keluarga saya dari Kedah!" Itu yang termampu kubalas. Aku buntu tetapi aku sebenarnya mahu menunjukkan ke mana 'ayah' anak-anakku dibawa supaya mereka tahu dan tidak akan bertanya. Aku mahu mereka melihat sendiri yang jasad ayah mereka ke liang lahad.

***************************
Upacara pengebumian selesai jam 12.30 tengah hari. Selangkah kaki memasuki rumah, hujan turun mencurah-curah diikuti guruh dan petir. Hari turut bersimpati terhadapku. Terasa amat sepi sekali. Sunyi dan terasing. Kubuka pintu almari baju suamiku. Aku memeluk baju-baju kemeja yang tergantung dalam almari itu. Mengapa terlalu cepat dia pergi sebelum aku sempat memohon maaf daripadanya.
"Dari malam tadi belum makan, mari makan. Tak baik biarkan perut kosong. Bayi tu tentu dah lapar!" Ajak birasku yang tidak jemu-jemu dari petang semalam. Ya Allah, aku sudah hampir terlupa keadaan diriku. Air mata mencurah-curah lagi.

***************************
Jururawat memanggil namaku. "Timbang berat". Aku akur dan berdiri di atas alat timbang tersebut. "Mengapa berat badan jatuh banyak sangat!" Jururawat muda berbangsa India itu merungut-rungut. Dia sekali lagi membetul-betulkan alat timbangan itu. Air mataku bercucuran walaupun aku cuba menahannya. "Mari sini cikgu!" Pantas jururawat Aniza memanggilku ke bilik rawatan. Jururawat yang lain terpingga-pingga. "Tak apa, nanti saya cerita" Balas Aniza. Aku pasti Aniza tahu akan pemergian suamiku. Empat hari lepas pemergian suami, berat badan boleh turun sebanyak 3 kg. Banyak juga air mataku yang tumpah, tambahan pula aku tidak berselera untuk makan. Kalau makanpun berkuahkan air mata yang masin. "Cikgu kena makan, kesian kat anak-anak, kalau kita sakit siapa nak tengokkan atau jaga anak-anak kita?" Aniza bersuara lembut memujuk hatiku.
" Saya sebenarnya redha dengan ketentuan Allah, tapi tak tahu nak gambarkan kesedihan ini. Saya tahu semua kita tidak kekal lama tapi bila saya fikirkan anak saya lahir nanti dah tak berayah. Tu yang saya sedih sangat ".
" Kita kena tengok pulak orang yang lebih susah daripada kita. Setidak-tidaknya kita ada pekerjaan. Suami saya dulupun meninggal jugak. Masa tu anak saya baru seorang. Rasanya bahagia tu sekejap saja, Allah dah ambik dia. Saya pun ambik masa yang lama juga untuk kembali pulih tapi kita kena sabar. Lama-lama nanti kita boleh terima".
Kini aku sedar bahawa bukan aku seorang yang mengalami pengalaman getir. Selagi kita mempunyai keluarga, pekerjaan dan sentiasa beriman kepada Allah, insyallah semua keperitan dapat dihadapi. Insyallah

6 comments:

  1. cite ni mmg best.tulis le lgi ye

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum..
    ape kbr cikgu?
    setiap yang hidup..pasti akan menemui mati..
    semoga cikgu terus tabah..

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. waalaikumsalam. Cikgu sihat je.. cuma baru bejinak2 dgn internet ni. Maklumlah org tua mcm sy ni mmg buta IT. Ni pn bel dgn anak sbb cuti2
    mcm ni maju ternak .mkn tidur n bdn dh mkin blt.
    Sy x da modal. Itu ygbuat nostalgia lm. Pas ni bc lg cerita sy kut2 leh buat drama ! ha ha.See you

    ReplyDelete
  5. sgt sedih...dan sgt nostalgia.....sgt tabah.....sgt byk pahala.....moga huby kak sobi disyurga.....insyaallah.....sgt pilu.......teruskan mgarang dan saya akan jd pembaca setia...buat drama mau kalah shila rusly...

    ReplyDelete
  6. Hoo..anak dh besar, mummy dia leh dok bc blog ye! Cerita real punya.. kut2 Erma Fatima nk buat scene dlm film. Klu takat dgr cerita x berkesan. Kn cr drp pengalaman sebenar...baru touch habis...

    ReplyDelete