Hari keenam aku ke sekolah seperti biasa. Ibu, ayah ,ibu mertua dan bapa mertua masih ada di rumahku. Ketika bersiap-siap mengenakan tudung, anakku Syakir berusia 5 tahun dan yang kecil Muhsin berusia 3 tahun mula menangis tidak mengizinkanku ke sekolah. Muhsin menarik-narik tudungku dan enggan melepaskanku. Ibu meminta ayah dan ayah mertuaku memegang anak-anakku yang meruntun bajuku. Ibu mertuaku tidak terkata apa-apa, hanya menyeka air mata menyaksikan reaksi cucu-cucunya.
“ Mak ke sekolah kejap. Tengah hari mak balik” pintaku dan turut sedih melihat ragam anak-anak.
Aku berjaya keluar dari rumah dan masuk ke kereta. Ya Allah, lindungi aku daripada segala bahaya. Sesungguhnya hambamu ini masih berasa takut untuk memandu walaupun kelmarin adik lelakiku Hafidz mengajarku memandu. Selepas lulus memandu pada 19.11.1996 aku tidak pernah memandu kecuali ketika pulang ke kampung suamiku.Itu pun jalan yang lurus dari Batu 16 ke Sg.Dulang. Aku menghidupkan enjin kereta Toyota Corolla SL 7182 yang sudah lanjut usia itu. Hati berdebar-debar tetapi kucuba yakini diri walau bagaimanapun aku mesti sampai sekolah hari ini. Tiba di persimpangan jalan aku lebih berhati-hati dan agak gopoh membelok ke kanan tanpa kusedari kehadiran sebuah motosikal yang laju ketika itu.
“Hoi, bodoh ka!” Teriakan pembonceng motosikal itu agak kuat. Aku pun hairan mengapa keretaku amat berat dan lambat sekali bergerak. Kepulan asap hitam dari ekzos keretaku jelas sekali. Bimbang di hati. Mati pulak kereta ni. Lantak lah kau orang nak kata aku ni bodoh. Kau tak tahu masalah aku! Getus hatiku sendirian. Tiba-tiba aku teringat yang aku tidak menurunkan ‘handbreak’ keretaku. Patutlah kereta ni tidak bergerak laju!...
Aku berasa amat tertekan. Cuti yang diambil sebanyak 4 hari itu amat singkat buatku. Setiap kali masuk ke bilik air untuk mandi, di situ aku mengambil kesempatan untuk menangis. Aku tidak mahu keluarga melihat kesedihanku biarpun sebenarnya mereka tahu aku selalu menangis. Anak-anak terutama yang berusia 5 dan 3 tahun itu akan menangis jika aku begitu lama berada dalam bilik air. Pintu besi itu pastinya diketuk bertubi-tubi supaya aku cepat keluar. Agaknya mereka trauma selepas ayah mereka meninggal, bimbang pula aku ikut jejak suamiku.
************************************************
Hampir semua pelajarku seakan-akan berasa pelik menerima kehadiranku ke sekolah pada pagi itu. “Assalamualaikum cikgu “ sapa mereka. Aku mengangguk dan menjawab salam mereka dalam hati. Hati sayu dan masih sedih sebab selama ini aku sentiasa hadir ke sekolah bersama-sama suami. Terasa janggal sekali. Malah title pun sudah berubah!
Pagi itu hati ini terasa sedih dan pilu memandang tempat duduk arwah suamiku di bilik guru itu. Aku terpandang ke a rah padang sekolah. Pada tengah hari jumaat jam 12.30 tengah hari sebelum pulang sekolah, di situ aku berdiri memanggil suamiku pulang. Keadaan padang sudah kelihatan kemas dan menjadi tugas suamiku untuk mempersiapkan padang sempena acara sukan Tahunan yang akan berlangsung keesokan harinya. Suamiku datang dan mengeluh kepadaku dan berasa letih. Wajahnya kulihat agak gelap. Ah, mungkin berjemur seharian sejak pagi lagi.
“Suami tak bagi tau ke yang dia menghidap apa-apa penyakit?” Soal isteri rakan suamiku sewaktu menziarahi jenazah hari itu. Aku mengeleng-gelengkan kepala. “Kalau tengok lebam pada lengan kiri ni, dia menghidap penyakit jantung!” balasnya sewaktu menziarahi jenazah arwah. Sebagai jururawat tentunya dia maklum hal seperti itu.
“Ya, Allah , aku tidak tahu dan suamiku merahsiakannya. Patutlah dia asyik menepuk-nepuk dadanya dan sering mengadu sakit tumit kaki!”
Loceng kedua berbunyi. Waktu Geografi kelas 2A1. Selepas menerima ucapan salam, aku terpandang lagi ke kawasan padang sekolah. Terasa kerongkongku tersumbat. Sebak dan air mataku masih mahu keluar. Bagaimana menghadapi mereka pada pagi ini? Aku malu sebenarnya menangis di hadapan pelajarku. Aku masih tidak dapat bersuara. Kalau boleh aku mahu berlari keluar dari kelas itu tetapi bimbang pula menjadi kesalahan.
‘Salin nota di bawah’ . Aku catatkan pada papan hijau itu. Semua pelajar mengeluarkan buku dan memahami kehendakku. Pada waktu itu jika cicak sedang berak pun boleh dengar najisnya gugur ke lantai. Sunyi sepi. Aku mencatat nota pada papan hijau itu. Biarpun sudah lenguh tanganku menulis, aku tidak berpaling ke a rah mereka kerana air mataku tidak mahu berhenti-henti sejak tadi. Pelajarku tetap membisu dan tekun menyalin nota. sebenarnya mereka turut merasai kesedihan itu kerana suamiku turut mengajar mereka bagi mata pelajaran Bahasa Melayu.
Wahai mata, letihlah sudah aku menangis. Berhentilah. Cukuplah. Mengapa banyak sangat air mataku. Masih tidak mahu berhenti-henti nak menangis. Lenguh biji mataku. Rasanya dah nak tersembul biji mata ni akibat banyak menangis. Aku terus memujuk hati sendiri.
Tamat waktu mengajar aku terus ke bilik guru. Aku tidak dapat masuk ke kelas berikutnya. Biarlah pengetua nak kata apa. Aku tidak boleh menghadap pelajarku buat ketika itu. Delima Sari mengurut-urut belakangku. “Sabar la kak. Allah lebih sayangkan dia.” Memanglah. Aku juga tahu. Kalau mereka di tempat aku, aku juga akan memujuknya dengan kata-kata itu. Semua yang dikatakan oleh mereka betul. Cuma berapa berat mata memandang, tidak sama bahuku yang memikul.
“ Kak, wakil PPD nak jumpa kat bilik pengetua”. Kerani pejabat memanggilku.
“Ya, Allah , apa pulak yang mereka nak ni” desisku.

assalamualaikum..wbt..
ReplyDeleteemmm...sedihnye...huhuhuhuu~
boleh buat novel crita ckgu ni..
w'kmsalam..
ReplyDeletexberkesmpatan nak menulis
lepas ni
i'allah la..
;)